Saya menerima berita daripada seorang pelajar tentang pelajar lain yang dibelasah oleh rakannya kerana mencuri laptop. Seperti kebiasaannya, sebagai warden bertugas saya terus bergegas ke tempat kejadian. Pelajar yang dibelasah telah dihantar ke hospital dan kumpulan yang membelasah sedia untuk menerima habuan daripada apa yang dilakukannya. Selepas menjalankan sesi soal siasat, didapati pelajar yang mencuri itu memang bersalah dan bersikap "tikam belakang". Perkara itu adalah biasa bagi saya. Saya lebih inkuiri terhadap punca atau "key" yang membuatkan pelajar berkenaan bertindak sedemikian. Selepas menjalankan analisis terhadap keterangan rakan-rakan mangsa dan juga pelajar yang membelasah pelajar berkenaan, saya dapati puncanya adalah 'emotional stress' yang melebihi keupayaan diri. Puncanya adalah terasa diri dipinggirkan, tidak diajak ke kuliah bersama, tidak dikejutkan, tidak ditegur dan sebagainya membuatkan dia rasa rendah diri dan akhirnya bertindak mencuri laptop rakan sebiliknya bagi kepuasan dirinya, menarik perhatian dan sebagai membalas dendam.
Jika kita melihat perspektif stress ada disebut definisinya dalam Lisan al-Arab istilah tekanan disebut sebagai dagt. Mu’jam ‘Ilm al-Nafs telah menjelaskan makna dagt sebagai keadaan jiwa atau emosi yang mengalami pergolakan dan kegelisahan yang amat dalam (Fakhir ‘Akil 1985: 110). Definisi ini selari dengan huraian Morstt & Furst (1979: 7) tentang tekanan. Beliau menyatakan bahawa tekanan adalah suatu keadaan yang dipengaruhi oleh gangguan mental dan emosional yang boleh mewujudkan keadaan tidak selesa atau tegang jika situasi tersebut tidak mampu ditanggung oleh tubuh badan. Dalam A Dictionary of Human Behaviour (1981: 121) pula, memberikan definisi tekanan sebagai ketegangan fizikal dan psikologi yang berpanjangan untuk suatu masa, yang boleh menggugat keupayaan seseorang untuk mengendali suatu situasi.
Di sini jelas tekanan/stress banyak bermain dan bermula dari kognitif dan rohani seseorang dan disalurkan ke aspek psikomoto. Jadi, kognitif yang matang dan rohani yang suci mampu menangani stress dengan berkesan. Semua makhluk di dunia ini mengalami stress, stress boleh dikawal sekiranya seseorang berada dalam keadaan sedar dan dikawal oleh daya kognitif yang positif. Semasa kita berada dalam stress pastikan kita menyatakan dalam diri kita tentang sesuatu yang positif. Cepat-cepat menidakkan sesuatu sangkaan negatif. Seseorang akan kuat melawan sangkaan negatif jika seseorang ada aspek kerohanian yang tinggi. Hanya kita yang tahu siapa diri kita. Jika semangat kita dibatasi dengan aspek kerohanian yang rendah, cepat-cepat kita nafikan dan pada masa itu juga kita katakan dan niatkan Allah maha pengampun aku bertaubat atas segala berbuatanku. InsyaAllah kita akan mampu mengawal stress.
Begitu juga dalam alam pekerjaan. Sifat berat sebelah majikan, sifat staf yang cemburu terhadap kejayaan orang lain, sifat mementingkan diri sendiri, egois dan sebagainya menjadikan kita berada dalam keadaan tertekan. Akibatnya akan berbalik kepada kita juga. Biarlah walaupun tidak diberi kursus, tidak diberi keistimewaan, tidak diberi peluang dan sebagainya. Sebaliknya carilah keistimewaan yang ada pada kita dan lakukan. Peluang tidak datang sendiri kepada kita, tetapi lebih berharga kalau kita mencarinya. |